JANGAN ABAIKAN SAKIT BELAKANG

SAKIT belakang berlaku apabila anda cuba mendapatkan badan untuk melakukan sesuatu di luar kemampuannya. Sakit ini tidak selalunya menunjukkan masalah yang lebih serius, malah kira-­kira 80 hingga 90 peratus sembuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Namun, kata Dr. Ozlan Izma, ada juga sesetengah keadaan sakit belakang menjadi lebih serius. Misalnya jika berasa sakit belakang disertai dengan menyucuk ke bawah kaki, kehilangan kawalan pundi kencing atau demam.
“Namun, bukan semua sakit belakang berkaitan slip disc. Kebanyakan pesakit yang mempunyai sakit belakang, menganggap mereka mempunyai masalah slip disc. Sakit belakang sebenarnya dikaitkan dengan masalah terseliuh pinggang misalnya duduk terlalu lama. Contohnya jika seseorang duduk terlalu lama, postur tersebut akan menekan otot dan tulang seterusnya sendi akan menjadi kaku atau keras.
“Kemudian, otot akan menjadi lemah. Dalam masa sama, anda melakukan kerja di luar kebiasaan seperti mengangkat barang. Ini akan menyebabkan pinggang terseliuh dan sakit belakang,” jelasnya.
Kebiasaannya pesakit akan diberikan ubat mengurangkan bengkak dan sekali gus mengurangkan sakit belakang. Ubat tersebut tidak semestinya ubat tahan sakit. Selain itu, urutan dan senaman regangan juga boleh meredakan keradangan sakit belakang.
Bagi mereka yang berasa sakit atau tegang pada bahagian belakang, anda boleh tuam dengan air batu atau pad ais. Dr. Ozlan Izma berkata, hancurkan ais batu, kemudian balut dengan plastik dan kain kering kemudian tuam pada bahagian yang sakit selama sepuluh minit.
Bagi mereka yang bekerja dan banyak duduk, sebaik-baiknya duduk dengan teknik yang betul. Tidak ketinggalan, lakukan regangan setiap 30 minit untuk mengelak sakit belakang.
Iritasi saraf
Menurut Dr. Ozlan Izma, ramai yang salah faham tentang slip disc dan istilah sebenar masalah ini ialah iritasi saraf yang disebabkan disc terluka.
Disc merupakan tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang dan berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot dengan umur iaitu disc kehilangan kelembapannya. “Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang.
Ini kerana slip disc berlaku apabila disc yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya ialah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut. Rasa sakit itu seperti piasu yang menghiris, menyucuk dan kebas.
“Iritasi saraf sebenarnya mudah dirawat. 70 peratus boleh sembuh dengan mengambil ubat yang betul. 20 peratus pula melalui suntikan epidural iaitu menyuntik ubat dengan tepat pada kawasan yang sakit. Selebihnya boleh dirawat dengan pembedahan sebagai pilihan akhir. Ada juga rawatan lain untuk iritasi saraf seperti fisioterapi,” katanya.
Kebanyakan penyakit pada hari ini sebenarnya berpunca daripada gaya hidup tidak sihat. Kewujudan teknologi sebenarnya melancarkan kehidupan seharian manusia tetapi sebaliknya teknologi menyebabkan orang ramai tidak mengamalkan gaya hidup aktif seperti masyarakat dahulu kerana leka dengan gajet di tangan.
Tidak hairanlah golongan muda turut diserang pelbagai penyakit termasuk sakit belakang. Oleh itu, mereka perlu kekal aktif bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik dan digalakkan melakukan aktiviti di luar rumah seperti bersenam atau beriadah.
Panduan menghindar sakit tulang belakang
Mengangkat barang
Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.
Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.
Duduk
Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.
Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.
Campurkan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.
Memandu
Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.
Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu
Tidur
Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.
Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.
Berdiri dan Berjalan
Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.
Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.
Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

Reference :

© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comments:

KECEDERAAN SARAF TUNJANG

Jangan pandang remeh jika kaki tangan kita terasa kebas dan lama-kelamaan keadaan semakin parah seperti bertambah lemah sehingga tidak boleh diangkat. Pesakit yang mempunyai tanda-tanda seperti kebas kaki dan atau tangan disarankan agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik bagi mengelakkan daripada keadaan menjadi semakin buruk.
Pakar Runding Orthopedik dan Pakar Bedah Saraf Tunjang, Hospital Pantai Klang, Klang, Selangor, Dr. Sia Chong Yeow berkata setakat ini di Malaysia tidak mempunyai data pesakit mengenai penyakit berkaitan kecederaan saraf tunjang.
“Bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan terdapat 40 hingga 80 kes baru kecederaan saraf tunjang setiap tahun bagi satu juta populasi penduduk di dunia
Dr. Sia menunjukkan model tulang belakang dan saraf tunjang.
Dr. Sia menunjukkan model tulang belakang dan saraf tunjang.
“Sebanyak 70 peratus pesakit adalah lelaki biasanya berusia dalam lingkungan 39 tahun,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Klang, Selangor baru-baru ini.
Biasanya jelas Dr. Sia, kebanyakkan pesakit datang sama ada dengan simptom kaki tangan lemah atau kebas atau mereka dirujuk oleh pakar perubatan lain kerana kemalangan.
Kecederaan
“Terdapat dua punca utama kecederaan saraf tunjang iaitu
1. Trauma
2. Bukan trauma
“Trauma biasanya disebabkan oleh kemalangan dan lebih 60 peratus kes melibatkan kemalangan jalan raya, jatuh dari tempat tinggi, kecederaan sukan, kecederaan semasa bekerja atau cedera dipukul menggunakan senapang api tetapi kes kecederaan disebabkan senjata api sering berlaku di negara Barat,” katanya.
Dr. Sia menambah punca bukan trauma biasanya disebabkan oleh kanser atau jangkitan kuman seperti batuk kering atau tibi, proses penuaan dan janin yang mengalami kecederaan saraf tunjang sejak lahir.
Menurut Dr. Sia lagi, biasanya lelaki pertengahan umur terutama mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti lumba kereta dan mendaki gunung sering terdedah kepada kecederaan saraf tunjang.
“Bagaimanapun semua orang mempunyai risiko terutama mereka yang:
1. Berusia muda akibat kemalangan sukan perlumbaan kereta atau mendaki gunung
2. Jangkitan kanser
3. Aktiviti lasak lain
Rehabilitasi
“Bagaimanapun sesetengah pesakit mempunyai kadar sembuh yang lambat dan mereka memerlukan rawatan sepatutnya supaya cepat sembuh,” katanya.
Buat masa ini terdapat rawatan baru saraf tunjang iaitu terapi sel stem yang masih baru dan masih dalam kajian.
Biasanya pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang lengkap mungkin lumpuh sepenuhnya jika mereka tidak bergerak dan menggunakan sendi dan otot. Jadi mereka perlu menjalani latihan fisioterapi untuk mengelakkan fungsi sendi dan otot menyusut atau tidak berfungsi.
Dr. Sia berkata, program rehabilitasi amat penting bagi pesakit yang mengalami kecederaan saraf kerana jika mereka mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga dan orang terdekat mereka boleh hidup lebih lama malah masih boleh berjaya seperti orang lain.
“Elakkan mereka daripada rasa terbeban atau rendah diri. Pesakit juga jangan cepat putus asa kerana mereka masih mempunyai peluang untuk berjaya seperti orang lain contohnya pemilik Speedmart 99 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda disebabkan penyakit polio semasa masih bayi,” katanya.

Reference :

© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

AIR TULANG BELAKANG

Oleh Hafizah Iszahanid
Prosedur lumbar puncture permudah doktor kenal pasti penyebab penyakit secara lebih tepat berbanding penggunaan antibiotik
Apa dia air tulang belakang? Mengapa ibu bapa terlalu takut, apabila kemungkinan prosedur mengambil air tulang belakang (lumbar puncture) perlu dibuat kepada anak? Adakah lumbar puncture terlalu teruk kesannya hingga anak boleh cacat atau lumpuh?
Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pakar Perunding Penyakit Kanak-Kanak dan Kardiologi, Dr Zulkifli Ismail, berkata hampir semua ibu bapa pesakit berketurunan Melayu enggan menjalankan lumbar puncture.
Mereka sebaliknya lebih rela anak diberi antibiotik demi antibiotik tanpa memberi peluang doktor memberi anak sembuh sepenuhnya. Pelbagai tanggapan negatif, kononnya pengambilan air tulang belakang boleh membuat anak terencat akal dan lumpu ch.
Katanya, bukan semua penyakit mesti dibuat lumbar puncture. Prosedur itu hanya dibuat bagi mengesan kuman penyebab penyakit meningitis, ensephalitis dan beberapa penyakit urat saraf. Meningitis (jangkitan kuman pada selaput sekililing otak dan urat saraf tunjang) memang perlu dirawat dengan antibiotik.
“Tetapi merawat dengan antibiotik tanpa pengambilan air tulang belakang seperti tidak merawat kerana kita tidak tahu apa yang kita rawat. Kita beri antibiotik tapi kita tidak tahu apa yang kita sasarkan dan bila hendak berhenti,�
�Justeru, antibiotik diberi secara berterusan atau terlalu cepat dihentikan. Melalui lumbar puncture, doktor tahu apa sebenarnya kuman penyebab meningitis. Apabila kuman sudah dikenal pasti kita tembak tepatlah. Kalau tidak, main tembak sajalah tanpa sasaran,” katanya.
Sehingga kini ada beberapa jenis kuman bakteria seperti hemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae, Staphylococcus termasuk Listeria dan enterococcus bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada tiga bulan dan lain-lain yang sensitif kepada beberapa antibiotik yang biasa digunakan doktor. Tetapi perlu diketahui meningitis boleh juga disebabkan virus atau parasit lain.
“Ketakutan ibu bapa yang paling besar, kemungkinan anak akan lumpuh dan terencat akal kalau air tulang belakang diambil. Sebenarnya, kalau meningitis tidak dirawat secepat mungkin dan dengan betul, itulah faktor yang meningkatkan risiko anak menjadi lumpuh dan terencat akal. Kadang kala terjadi, anak lewat dibawa ke hospital. Secara kebetulan, lumbar puncture dilakukan dan rawatan dimulakan tetapi kerosakan yang disebabkan penyakit asal sukar dipulihkan. Kebanyakan ibu bapa akan mengatakan prosedur tadi yang menyebabkan komplikasi lumpuh atau terencat akal walhal itu semua adalah komplikasi penyakit asal,” katanya.
Katanya, walaupun kebanyakan orang Malaysia tahu mengenai kepentingan prosedur lumbar puncture, keluarga pesakit terutama orang Melayu masih menganggap ia satu prosedur yang menghancurkan masa depan anak mereka.
“Orang Melayu banyak sangat pantang larang. Datuk nenek tak berilah atau mereka dengar cerita anak saudara kawan kepada kawan cacat selepas ambil air tulang belakang.
�Saya hormati keputusan ibu bapa. Saya tidak akan pujuk mereka untuk beri persetujuan untuk lumbar puncture. Cakap sekali mereka tidak mahu, tidak mengapa, kebanyakan doktor tidak mahu buang masa,� katanya.
Sikap ibu bapa ini memberi kesan dari sudut statistik. Malaysia ketinggalan berbanding Thailand, Filipina dan Singapura dalam kes meningitis. Di negara berkenaan kebanyakan punca meningitis diketahui berpunca daripada kuman pneumococcus. Tapi di Malaysia punca sebenar meningitis tidak diketahui secara tepat disebabkan ibu bapa pesakit tidak mahu bekerjasama.
Ketakutan sesetengah ibu bapa terhadap prosedur ini tidak berasas kerana jika benar ia memiliki kesan sebegitu teruk terhadap pesakit, mengapa ia masih dilakukan di seluruh dunia? Malah jika diikutkan, sejarah lumbar puncture bermula pada 1891 apabila diperkenalkan Heinrich Quincke, dari Kiel, Jerman. Quincke sebenarnya melakukan lumbar puncture untuk membantu kanak-kanak yang menderita diserang hydrocephalus.
Mengenali Air Tulang Belakang.
SECARA saintifik ia dikenali sebagai Cerebrospinal fluid (CSF). Cecair berwarna jernih ini beredar ke seluruh sistem saraf tengah. Air tulang belakang adalah sejenis protein yang terletak di antara otak dan tengkorak.
Ia memiliki dua kelebihan pada sistem saraf tengah. Dari sudut peredarannya, ia menghantar nutrisi kepada struktur sistem saraf. Ia juga menyingkirkan bahan buangan daripada otak dan tulang belakang selain menyahtoksik persekitaran sistem saraf.
Air tulang belakang juga bertindak menyerap goncangan. Ia melindungi otak dan tulang belakang daripada trauma disebabkan pergerakan, misalnya jatuh. Secara purata, manusia menghasilkan air tulang belakang sekitar 0.3 ke 0.4 mililiter setiap minit. Tetapi setiap kali dihasilkan, ia akan terserap ke dalam sistem badan. Jika penghasilannya tidak diserap, seseorang itu akan berhadapan masalah kepala besar berair dikenali sebagai hydrocephalus.
Image result for air tulang belakang
“Air tulang belakang yang normal berwarna jernih tetapi akan bertukar warna dan tidak mustahil menjadi pekat kekuningan jika berlaku jangkitan pada otak dan urat saraf. Analisis ke atas tahap protein, gula, sel darah putih dan merah, kultur untuk kuman, mikroskopi dan beberapa ujian lain boleh memberitahu maklumat tepat penyakit urat saraf,� katanya.
Zulkifli berkata, penyakit yang biasa terjadi di otak dan selaput otak adalah meningitis dan encephalitis (radang otak) selain masalah urat saraf lain yang tiada kena-mengena dengan jangkitan. Tetapi prosedur lumbar puncture tidak boleh dibuat jika berlaku tumor pada otak atau pendarahan di otak.
Hanya beberapa titis air tulang belakang saja diambil. Biasanya prosedur itu membabitkan bahagian bawah ruas tulang belakang di antara L3 dan L4. Urat saraf tunjang berakhir pada ruas tulang pinggang L1 atau L2.
Justeru lumbar puncture tidak menyebabkan penusukan jarum ke tulang atau saraf penting yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu cacat. Disebabkan bahagian antara ruas itu hanya urat saraf kecil, apabila jarum dimasukkan, saraf secara automatik akan ketepi.
�Sebenarnya ibu bapa harus faham, tujuan lumbar puncture untuk memastikan kuman yang menyerang pesakit meningitis dan dapat dirawat dengan sempurna,� katanya.
Meningitis boleh disebabkan banyak kuman. Kerana itu ada dua vaksin diberikan kepada kanak-kanak bagi menentang meningitis. Vaksin Hib yang diberikan percuma oleh kementerian kesihatan dan vaksin pneumococos yang boleh didapati di pusat perubatan swasta.
Prosedur lumbar puncture ini mengambil masa kurang lima minit. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang kesan pada pesakit, jika dilakukan dengan langkah berjaga-jaga. Justeru, ada beberapa langkah perlu diambil kira sebelum lumbar puncture dibuat;
a) Tiada tekanan tinggi dalam otak
b) Tiada pendarahan dalam otak
c) Kulit di bahagian yang bakal dibuat lumbar puncture bebas dari sebarang jangkitan.
d) Tiada tumor dalam otak yang boleh meningkatkan tekanan dalam otak. Jarum yang diguna halus dan kecil.
Zulkifli berkata, tiada had usia untuk memulakan prosedur lumbar puncture. Bayi yang baru beberapa hari dilahirkan pun boleh melalui lumbar puncture.
Tetapi jika pesakit itu tidak stabil, prosedur ini tidak akan dilakukan. Bagi kanak-kanak, jika ubun-ubunnya masih lembik prosedur itu selamat. Bagi kanak-kanak yang ubun-ubunnya sudah keras, imbasan CT mungkin perlu dibuat. Tetapi jika kemungkinan meningitis yang tinggi, pesakit akan dimulakan dengan antibiotik dulu diikuti dengan lumbar puncture.

Reference :

Sumber: Berita Harian 8.4.2007

0 comments:

APABILA SARAF MEMBELENGGU KESIHATAN DIRI

KUALA LUMPUR: Orang yang sedang dalam kesakitan memang mudah naik marah dan keadaan ini juga menjejaskan tahap kesihatan serta daya pengeluarannya. 

Hasil tinjauan Merck Sdn Bhd, syarikat farmaseutikal yang tidak asing lagi mendapati rasa sakit serta tidak selesa yang paling biasa dialami kebanyakan orang sebenarnya berpunca daripada saraf yang tidak sihat. 

Tinjauan yang dibuat di Lembah Klang pada tahun lalu mendapati seorang daripada dua orang yang berusia 21 tahun ke atas menunjukkan tanda-tanda kerosakan saraf.

Separuh daripada responden ada berasa seakan dicucuk jarum di bahagian anggota badan mereka termasuk rasa kebas dan panas. 

Sebagai tambahan, pemeriksaan saraf yang dijalankan ke atas lebih 13,000 rakyat Malaysia di seluruh negara tahun lalu mendapati saraf 26 peratus daripada mereka yang diperiksa sudah rosak.

"Kebanyakan yang terlibat dalam tinjauan ini dan diperiksa beranggapan rasa sakit dan tidak selesa yang mereka alami berpunca daripada gaya hidup mereka atau tekanan yang ada kaitan dengan kerja.

 "Mereka tidak langsung menyangka mereka mungkin menderita apa yang dipanggil sebagai neuropati iaitu kerosakan saraf," kata syarikat farmaseutikal ini dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Sistem saraf

 Dr Goh Khean Jin, Perunding Ahli Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaysa baru-baru ini memberi taklimat kepada media berhubung fungsi saraf dan neuropati.

 Sistem saraf bermula daripada otak sehingga ke saraf tunjang. Serupa seperti pendawaian elektrik yang membekalkan kuasa elektrik ke seluruh bangunan, saraf menghantar isyarat elektrik ke tubuh badan manusia.

 Ia mengawal organ deria yang membolehkan manusia berasa sejuk, panas atau tajam serta lain-lain sensasi. Saraf juga menggerakkan otot, bukan sahaja untuk menggunakan tangan atau berjalan tetapi juga untuk perbuatan seperti batuk, membongkok, mengunyah serta melihat ke kanan atau ke kiri. 

Sistem saraf juga mengawal fungsi penting yang berlaku di luar kawalan seperti degupan jantung, pencernaan dan pernafasan.

 "Pada asasnya kita ada sistem saraf pusat yang memberi kesan terhadap otak dan saraf tunjang. "Kita juga ada sistem saraf perifer di luar otak dan saraf tunjang. "Penyakit saraf di luar otak dan saraf tunjang, kami panggil sebagai neuropati perifer," jelas Dr Goh. 

Perdayaan sakit

Gejala kerosakan saraf boleh melibatkan rasa berdenyut-denyut serta kebas kepada rasa sensitif yang melampau kepada sentuhan atau sakit yang mencucuk-cucuk serta sukar berasa panas atau sejuk atau hilang rasa sensasi. 

Menurut beliau, pesakit neouropati lazimnya mengadu rasa berdenyut-denyut, kebas, rasa sakit atau panas di kaki atau hujung jari. "Sekiranya anda tidak merawat masalah ini, ia mungkin menjadi lebih buruk. Ia akan naik ke kaki atau tangan. "Anda juga boleh mendapat ulser. Ini berlaku apabila pesakit tidak sedar yang dia mempunyai luka dan akibat jangkitan, luka itu menjadi teruk. " katanya sambil menambah kawasan kebas biasanya bermula dari tempat yang paling jauh dari bahagian tengah badan," katanya. 

Menurut beliau, pesakit juga mungkin mengadu lemah otot. "Sekali-sekala otot akan menjadi 'atropid' yang bermakna otot mengecut kerana saraf di otot berada dalam keadaan teruk," tambah Dr Goh. 

Sakit akut yang biasa adalah baik kerana ia tanda amaran, justeru melindungi seseorang itu daripada mengalami lebih banyak kerosakan terhadap tubuh badannya. Bagaimanapun, menurut Dr Goh, sesetengah pesakit mengalami kesakitan tanpa sebarang punca yang diketahui. 

Saraf menghantar isyarat palsu ke otak menunjukkan ada kesakitan tetapi secara realitinya tidak ada apa-apa yang menyebabkan punca kesakitan itu. "Kesakitan ini akibat kerosakan kepada saraf dan kerap berlaku," katanya. 

Punca neuropati perifer

 Kira-kira 30 peratus neuropati berpunca daripada faktor yang tidak dikenali sementara 30 peratus lagi disebabkan diabetes dan keadaan ini dipanggil neuropati diabetik.

 Pilihan gaya hidup seperti pengambilan alkohol yang berlebihan, menghisap rokok, gaya hidup yang banyak duduk, ketidakseimbangan diet dengan kekurangan vitamin B1, B2 dan B12 terutama dalam kalangan mereka yang hanya mengambil sayuran adalah faktor biasa yang boleh menyebabkan neuropati perifer. 

Duduk terlalu lama, memakai kasut tinggi serta pakaian ketat di samping melakukan kegiatan yang berulang-ulang seperti menaip, memasak dan 'texting'juga memberi tekanan kepada saraf. 

Saraf juga boleh rosak akibat lebihan berat badan dan trauma fizikal seperti kemalangan kenderaan, jatuh atau kecederaan sukan.

Punca lain termasuk jangkitan virus atau bakteria, penyakit buah pinggang, penyakit hati, kecelaruan otoimun dan pendedahan kepada toksin. 

Rawatan untuk neuropati 

Setakat ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan neuropati.Bagaimanapunm, penyelidik telah menemui cara untuk melegakan ketidakselesaan dan meningkatkan mutu kehidupan pesakit. 

Menurut Dr Goh, rawatan penyakit saraf ini bergantung kepada puncanya. "Jika puncanya boleh dikenalpasti, bolehlah cuba menangani punca itu. Apakah ia berkait dengan imun atau kekurangan vitamin?

 "Sekiranya ia penyakit sistemik seperti diabetes atau tiroid, penyakit itu perlu dirawat. Ini akan memperbaiki atau menstabilkan neuropati mereka," katanya. Bagaimanapun, sekiranya punca utama tidak dapat dikesan atau dirawat, doktor perlu merawat gejala yang ada pada pesakit. Antaranya termasuk ubat untuk mengawal kesakitan saraf serta fisioterapi atau sesi terapi pekerjaan. 

Dalam kes di mana pesakit berada dalam tekanan yang kuat akibat kesakitan, beliau digalakkan berjumpa ahli psikologi. "Dalam hal ini kita bukan bercakap tentang penyembuhan pesakit tetapi cuba memperbaiki mutu kehidupan pesakit kerana dia mengalami kesakitan yang teruk dan memerlukan banyak sokongan," kata Dr Goh. - 


Reference :

BERNAMA

0 comments:

Featured Post

Remaja bermasalah

         Isu remaja bermasalah bukanlah isu yang baru lagi. Malahan isu ini sudah bangkit dan menjadi perhatian sekian lama, namun isu i...

Copyright © 2013 KELAB AKTIVITI SOSIAL MASYARAKAT MALAYSIA (KASOMA)