Masalah Sosial Yang Sukar Dibendung Oleh Ibu Bapa.


Remaja merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi & teknologi telah memberi kesan kepada pembangunan sosial & insaniah remaja. Kerajaan & juga pelbagai pihak lain berusaha untuk mendidik remaja di dalam membentuk remaja yang berkualiti untuk memimpin negara dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat IPT. Namun, di dalam zaman siber ini, keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meruncing hingga menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat. Jika dulu masalah sosial hanya berlaku di kawasan bandar yang membangun dan kota besar, masalah sosial ini turut menular di kawasan luar bandar. Lebih menyedihkan, remaja berusia seawal usia 11 tahun telah pun terjebak di dalam masalah ini. Di antara masalah yang seringkali berlaku di kalangan remaja ialah:


1. Samseng & Gengsterisme

Gejala samseng & gengsterisme yang berlaku di sekolah menengah semakin membimbangkan. Adakalanya kerana terpengaruh dengan rakan sebaya, remaja menyertai kumpulan gengster di luar. Kebiasaannya apabila kumpulan gengster ini dibentuk di sekolah,kumpulan ini akan mengambil kesempatan untuk membuli pelajar yang lemah. Mereka tidak takut kepada sesiapa kerana merasakan sudah kuat & boleh membuat apa sahaja. Amaran keras dari pihak sekolah dan hukuman dibuang atau digantung dari persekolahan tidak menjadi masalah besar buat mereka. Kumpulan ini bukan sekadar membuli pelajar yang lemah, malah ada yang lebih berani mula terbabit di dalam penyalahgunaan dadah, mencuri, mengugut & yang lebih kronik terbabit dalam jenayah berat seperti merogol & membunuh.Tidak terkecuali juga bagi remaja yang terlibat di dalam kumpulan punk & skin head. Sungguhpun mereka mengatakan bahawa mereka menyertai kumpulan ini sekadar suka-suka & tidak terbabit di dalam kes jenayah, terdapat juga laporan di dalam media cetak sesetengah kumpulan punk & skinhead terbabit dalam kes jenayah apabila mereka terlalu taksub dengan idealogi kumpulan.

2. Seks Bebas
Seks bebas ini juga antara masalah yang semakin meruncing yang mana remaja yang terlibat bukan sahaja tinggal di kawasan bandar & kota, malah turut berlaku di luar bandar. Lebih menyedihkan, remaja yang terbabit yang berusia seawal 12 tahun. Pengaruh dari rakan-rakan & juga video lucah antara punca berlakunya masalah seks bebas. Kes yang kerap dilaporkan di media cetak ialah remaja perempuan yang lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki. Alasan yang kerap diberikan adalah tidak tahan dikongkong oleh ibu bapa & ingin mencari kebebasan di luar. Berlakunya hubungan seks bebas ini sehingga remaja perempuan mengandung anak yang tidak sah taraf. Bagi remaja perempuan yang kebingungan untuk mencari jalan penyelesaian, desakan dari rakan-rakan & teman lelaki untuk menggugurkan kandungan & membuang bayi adalah antara penyelesaian singkat bagi mengelak daripada menjadi tohmahan masyarakat. Namun,terdapat juga remaja yang hamil anak tidak sah taraf tidak sanggup mengambil risiko membahayakan nyawa dengan menggugurkan kandungan. Mereka meminta bantuan daripada pihak rumah kebajikan untuk membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Kerajaan Melaka misalnya mengambil inisiatif dengan menubuhkan sekolah remaja yang hamil anak tidak sah taraf untuk membantu remaja ini dengan memberi perlindungan & bimbingan kepada mereka. Walaupun cadangan ini pada awalnya mendapat reaksi negatif daripada masyarakat, namun ia merupakan salah satu cara untuk memberi perlindungan kepada remaja yang terjebak dalam kancah sosial.

3. Minum Arak & Penyalahgunaan Dadah.

Sikap suka mencuba & menyahut cabaran rakan-rakan antara sebab berlaku gejala ini. Arak boleh dibeli di kedai runcit dijual dengan harga yang murah. Bukan perkara yang pelik jika akhbar ada melaporkan pelajar sekolah rendah juga ada yang membeli minuman keras & berkongsi dengan rakan-rakan mereka. Penyalahgunaan dadah juga antara masalah sosial yang paling kerap dilaporkan. Berdasarkan kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia mendapati kebanyakan penagih dadah di Malaysia mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun & 71% daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda yang berusia antara 19-39 tahun. Dadah bukan terhad kepada jenis dadah yang dikenali umum seperti morfin, heroin, metaphatemin, ganja & pil kuda, ia turut merangkumi jenis-jenis ubat yang disalahguna seperti ubat batuk & gejala hidu gam. Tidak kira dadah, arak atau pun hidu gam, ia membawa risiko yang amat tinggi sehingga boleh membawa maut.

4. Lumba Haram

Gejala mula popular di kalangan remaja sekitar akhir tahun 90 an. Alasan sering kali diutarakan oleh remaja yang menyertai lumba haram ini adalah inginkan kebebasan & keseronokan. Kebiasaannya, hadiah yang dipertandingkan dalam perlumbaan ini adalah wang pertaruhan yang diperolehi dari penonton & gadis remaja daripada kumpulan yang kalah. Mereka tidak ketinggalan menggunakan dadah. Kumpulan lumba haram ini tidak takut kepada pemantauan pihak polis & yang paling teruk mereka tidak takut mati setiap kali berlumba. Tidak menjadi masalah besar buat mereka seandainya mereka pernah terbabit dalam kemalangan atau rakan mereka maut ketika berlumba. Kumpulan ini mempunyai perasaan setia kepada kumpulan masing-masing & sanggup terlibat dalam pergaduhan. Motosikal yang digunakan untuk perlumbaan haram kebiasaannya telah diubah. Peratusan remaja yang terlibat dalam perlumbaan haram ini semakin meningkat & pihak polis sendiri semakin kerap membuat pemantauan bagi mengurangkan kes lumba haram sekaligus mengurangkan kadar kemalangan ngeri akibat perlumbaan tersebut.








5. Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah masalah sosial baru di kalangan pelajar sekolah di negara ini. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97% adalah dari kalangan pelajar lelaki & 3% adalah pelajar perempuan. Masalah ponteng sekolah lebih ketara berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah iaitu tingkatan 2 & 3 terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar & sekolah di pinggir bandar. Di antara faktor yang menyebabkan berlaku masalah ini ialah tiada minat atau motivasi untuk ke sekolah, pengaruh rakan sebaya & pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah & melayari internet di cyber cafe.
PUNCA BERLAKU MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA.
1. Peranan Ibu bapa
Seringkali dikatakan ibu bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang sentiasa memberi galakan & perangsang sehingga mereka timbul minat, semangat ketekunan & keyakinan diri dalam menghadapi pelajaran. (Jamal Darus, 1989). Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti dorongan & galakan, disiplin di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa & anak seta keluarga yang utuh memberi kesan ke atas pembentukan personaliti, motivasi & pencapaian akademik remaja yang masih bergelar pelajar. Oleh itu, ibu bapa yang kurang memainkan peranan dalam pembentukan & perkembangan personaliti atau sahsiah remaja menyebabkan konflik sahsiah remaja tersebut. Ini menyebabkan remaja mencari jalan keluar dengan bersifat agresif & memberontak. Remaja yang mempunyai sifat tersebut lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulanya pengaruh-pengaruh negatif yang menyebabkan remaja terlibat dengan masalah sosial.
2. Masalah Keluarga
Faktor yang ke 2 ialah masalah keluarga seperti keluarga yang berpecah belah akibat penceraian, kehilangan tempat bergantung dan seringkali berlaku pertengkaran di antara ibu bapa. Remaja yang mempunyai masalah keluarga sering kali mencari tempat bagi melepaskan tekanan yang mereka ada. Pada ketika ini, pengaruh daripada rakan-rakan banyak menjadi punca kepada remaja untuk terlibat dalam masalah sosial. Peranan daripada ahli keluarga lain dapat membantu mereka menentukan arah perjalanan mereka dalam menghadapi cabaran zaman moden ini.
3. Pengaruh Rakan Sebaya
Dalam diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat. Kelompok rakan sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan & keputusan seorang remaja tentang perilakunya. Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri & mempunyai pengaruh yang ketara. Mereka dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja. Jika rakan sebaya mempunyai sifat-sifat positif seperti berdisiplin & cenderung melakukan perkara yang menbawa kebaikan, begitu juga sifat remaja berkenaan. Tetapi jika rakan sebaya cenderung mempunyai sifat negatif, begitu juga sikap remaja berkenaan. Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya. Remaja yang berasal dari keluarga yang bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya & membentuk kumpulan sendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Paling teruk atas sebab pengaruh rakan sebaya ini akan mempengaruhi remaja terlibat dengan najis dadah, merogol, merompak & membunuh.

4. Penyalahgunaan IT
Di zaman penggunaan teknologi maklumat & komunikasi yang semakin berkembang pesat di Malaysia, ibu bapa berdepan dengan cabaran yang besar di dalam mengawal anak-anak mereka dari tidak menyalahgunakan teknologi ini. Antara penyalahgunaan IT yang paling popular sekarang adalah penyebaran video & gambar lucah di telefon bimbit. Muat turun aplikasi ini amat mudah didapati di kedai-kedai yang menawarkannya dengan harga semurah RM5. Bermula dengan ketagihan menonton aplikasi ini, remaja ingin mencuba. Maka terjadilah kes seks bebas & masalah pembuangan bayi yang semakin kritikal. Ada di antara remaja yang merakam aksi mereka melakukan hubungan seks atau merogol beramai-ramai & menyebarkan rakaman tersebut di dalam internet atau kepada rakan-rakan. Penggunaan laman web sosial seperti Facebook, Twitter & Friendster juga boleh menjadi virus sekiranya ia disalahgunakan. Tidak ada salahnya menambah kenalan tetapi jangan sesekali ia dijadikan tempat untuk memaparkan gambar atau video lucah. Disinilah terletak pentingnya peranan ibu bapa mengawal anak-anak mereka daripada melayari laman web lucah.

5. Rasa Ingin Tahu
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya masalah sosial ini adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Selain itu, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran & mudah terikut-ikut dengan gaya & gaya hidup lain daripada yang lain. Jika tidak kena pada caranya, remaja akan terjebak dalam masalah sosial. Sebagai contoh kes hamil luar nikah, memetik kenyataan Akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap terpedaya & sukar mengawal hawa nafsu dikenal pasti sebagai punca utma berlakunya gejala tersebut. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik atau buruknya serta akibat yang bakal diterima.

6. Kurangnya Didikan Agama
Jika ibu bapa tidak menerapkan ajaran agama dalam diri remaja, sedikit sebanyak remaja tersebut kurang panduan dalam menghadapi cabaran sosial. Pendidikan agama perlu diterap dalam diri remaja sejak kecil. Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran & Hadith sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana setiap gejala sosial jika dilakukan oleh orang Islam.

CARA MENGATASI GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA.

1. Peranan Ibu bapa
Kita telah ketahui antara punca utama dalam penglibatan remaja dalam gejala sosial ini adalah kurangnya perhatian & kasih sayang daripada ibu bapa & keluarga. Bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan, ibu bapa perlu memberi perhatian, bimbingan & kasih sayang kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya, maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya.

2. Peranan Sekolah
Pendidikan merupakan elemen penting dalam strategi pencegahan & sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenal pasti, merancang & melaksanakan segala program & aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah & IPT untuk mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi gejala sosial, menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan gejala sosial & mewujudkan persekitaran yang menjadikan masalah sosial itu dibenci & jijik.

3. Kesedaran Diri Sendiri
Remaja itu sendiri perlu ada kesedaran dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar. Dalam soal ini, pemilihan rakan sebaya turut memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri remaja. Remaja perlu memikirkan baik atau buruk serta akibat sebelum melakukan sesuatu perbuatan dengan mendapatkan pandangan daripada ibu bapa & guru. Untuk mengelak dari terjebak dalam masalah sosial ini, remaja boleh melibatkan diri secara aktif dalam sukan & kem motivasi yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan & pertubuhan bukan kerajaan.

KESIMPULAN.
Semua anggota masyarakat tidak kira peringkat bawahan atau atasan perlu mengambil inisiatif untuk membendung gejala sosial ini dari terus menular dengan lebih serius. Setiap individu, keluarga & masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama & mempunyai peranan dalam pencegahan gejala ini & memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. masyarakat juga perlu menyokong usaha pihak lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam melaksanakan program-program untuk remaja. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang bahayanya gejala sosial ini jika tidak dibendung. Didikan agama perlu dititik beratkan dalam keluarga agar ia dapat dijadikan panduan.

0 comments:

Featured Post

Remaja bermasalah

         Isu remaja bermasalah bukanlah isu yang baru lagi. Malahan isu ini sudah bangkit dan menjadi perhatian sekian lama, namun isu i...

Copyright © 2013 KELAB AKTIVITI SOSIAL MASYARAKAT MALAYSIA (KASOMA)