Remaja bermasalah
Isu remaja bermasalah bukanlah isu yang baru lagi. Malahan isu ini sudah bangkit dan menjadi perhatian sekian lama, namun isu ini sepertinya tidak ada penghujung.
Remaja kebiasaannya akan mula terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang akhirnya menyebabkan mereka digelar sebagai remaja bermasalah seawal usia 13 tahun iaitu apabila mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Pada masa ini, mereka yang asalnya daripada sekolah rendah mula "melihat dunia" dan mendapat pengaruh daripada rakan-rakan yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Pada usia ini, remaja biasanya akan diperlihatkan dengan perkara-perkara baru yang menyebabkan mereka mempunyai keinginan untuk mencuba. Keinginan untuk mencuba ini juga disokong dengan kepuasan yang bakal mereka peroleh dan respect daripada rakan-rakan mereka yang tidak berani mencuba.
Yang hairannya, pelbagai usaha telah diambil untuk mengelakkan remaja-remaja yangfresh daripada sekolah rendah ini daripada terjebak dengan isu-isu yang berkaitan dengan remaja bermasalah ini. Jika dilihat dari segi usaha pihak sekolah, pelbagai jenis usaha seperti ceramah, kaunseling dan pendedahan awal dibuat untuk menyedarkan remaja-remaja ini tentang bahaya dan kesan yang akan diperoleh apabila mereka terjebak dengan remaja bermasalah. Remaja yang kebanyakannya tergolong dalam kalangan pelajar juga sering diminta untuk menulis karangan mengenai faktor remaja bermasalah dan cara mengatasinya supaya mereka dapat berfikir sejenak. Kempen daripada pihak kerajaan juga diadakan bagaikan kulat tumbuh selepas hujan. Namun, usaha-usaha yang diambil untuk mengurangkan peratusan remaja bermasalah ini tidak mendatangkan hasil. Malah peratusan remaja bermasalah semakin meningkat berikutan berita yang kita dapati hari demi hari daripada akhbar, media sosial dan juga laman sesawang. Berikutan adalah contoh keratan akhbar yang berkait dengan isu remaja bermasalah.
Setelah pelbagai usaha dilakukan, hasilnya boleh dikatakan agak mengecewakan. Kini timbul persoalan mengenai punca remaja itu bermasalah. Adakah remaja itu sendiri yang "mencari penyakit" dengan melibatkan diri dalam isu remaja atau adakah masalah ini sebenarnya berpunca daripada ibu bapa?
Remaja itu sendiri vs ibu bapa?
Remaja yang bermasalah ini dikatakan berpunca daripada beberapa faktor. Contoh yang biasa diketengahkan apabila berbicara mengenai remaja bermasalah adalah kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk mencuba yang sangat tinggi. Namun begitu, tahukah anda bahawa remaja yang bermasalah ini sebenarnya mempunyai hubung kait dengan kisah silam mereka pada zaman kanak-kanak dahulu?
Dalam pengajian psikologi, terdapat satu bahagian dimana kajian mengenai perkembangan manusia dilakukan. Menurut kajian yang dilakukan, remaja yang bermasalah ini mempunyai kaitan dengan masa kecil mereka. Contohnya;
- Kanak-kanak yang tidak cukup menyusu ibu akan mengalami masalah yang berkaitan dengan mulut seperti merokok apabila menjelang remaja kelak.
- Kanak-kanak yang dikongkong pada masa kecil akan memberontak untuk mencari kebebasan dan keinginan mereka untuk mencuba adalah sangat tinggi akibat dikongkong pada masa kecil.
Walaupun pengaruh rakan sebaya dan faktor-faktor lain turut menjadi punca remaja bermasalah, namun begitu ibu bapalah sebenarnya yang memainkan peranan penting dalam proses membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah membesarkan anak-anak dengan cara yang betul untuk mengelakkan anak-anak mereka membesar menjadi remaja yang bermasalah pada masa akan datang. Didikan harus diberikan sebaik mungkin termasuklah didikan agama supaya anak-anak dapat membesar dengan baik. Membesar dengan baik disini bermaksud mereka dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara itu pada masa akan datang dan juga mendapat kasih sayang, perhatian dan pengajaran yang sebaiknya supaya masa kecil mereka lengkap. Jika masa kecil mereka mempunyai kekurangan, hal inilah yang akan merangsang mereka untuk mencari jawapan sendiri menjelang dewasa kelak dan potensi untuk mereka terlibat dengan remaja lain yang bermasalah adalah tinggi.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, mendidik anak juga haruslah daripada kecil dan bukannya apabila mereka sudah meningkat remaja dan mula membuat silap barulah ibu bapa sibuk mencari jalan penyelesaian.
0 comments: